Di bawah ni, ada kiriman dari Roslan Zaman aka Pokmen, dengan pesanan, "Baguih utk imbas2 kenangan silam heheeh... layannnnnnn
p/s-aku tak tau kat mane sumber dia, kat mane dier copy n paste tapi elok juga, jangan jd crew yg hardcore jer, tapi tau gak asal usul dier
Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford berasal dari sekolah Melayu yang didirikan dalam bulan Disember 1897. Pada tahun tersebut muncul "Sekolah Inggeris Kerajaan" dan dikenali juga sebagai "Sekolah Hogan" sempena nama guru besarnya yang pertama, Encik James Percival Charles Hogan. Pelajar sekolah ini bermula dengan jumlah daftar sebanyak 40 orang murid pada tahun awal penubuhannya, menjadi 494 orang pada tahun 1928. Sehingga tahun 1905, sekolah ini mencatatkan rekod menjadi sekolah campuran yang pertama di Perak. Dari segi tenaga pengajar, bermula tahun 1905, sekolah ini hanya mempunyai seorang guru besar dan 4 orang guru bagi 158 orang murid. Pada tahun-tahun berikutnya, tenaga pengajarnya terdiri daripada bangsa Eropah, India, China dan Melayu. Hanya pada tahun 1924 sekolah ini mempunyai guru besar dari keturunan Arab iaitu Tuan Syed Shaidali.
Pada tahun 1928 sekolah ini mendapat namanya yang baru yang dikenali sebagai "Sekolah Clifford", mengambil nama Gabenor Negeri-negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Malaya ketika itu, Sir Hugh Clifford. Kemajuan sekolah ini sebelum perang banyak bergantung kepada usaha-usaha gigih pendidik-pendidik keturunan Eropah, Arab, Cina, India termasuk guru-guru
Melayu. Ketika Perang Dunia ke-2, sekolah ini bertukar status menjadi markas tentera Jepun sehingga tahun 1946. Selepas tamat perang, pembangunan dan kemajuan Sekolah Clifford dibangunkan bersungguh-sungguh oleh pemangku guru besar ketika itu iaitu Encik Arumukham, bersama-sama dengan kakitangan guru. Dalam masa tersebut, sekolah menghadapi banyak masalah kekurangan perabot dan buku-buku.
Sekolah Clifford mula menawarkan mata pelajaran Sains pada tahun 1946 dan dalam tahun-tahun 1940an menunjukkan prestasi yang cukup baik bagi sekolah ini dari aspek Peperiksaan Senior Cambridge yang juga menyaksikan ramai lepasannya berpeluang belajar di Institusi Pengajian Tinggi seperti Kolej Perubatan Raffles Singapura, Kolej Pertanian Serdang dan universiti di luar negara, khususnya Britain. Keputusan Peperiksaan Senior Cambridge juga
menunjukkan prestasi yang paling membanggakan kerana tidak ada seorang pun anak Melayu yang gagal ketika itu.
Sekolah ini pernah melaksanakan "Kelas Ekspres" pada tahun 1949 untuk pelajar darjah 4 dan 5. Mulai tahun 1958 bahagian Menengah dan Sekolah Rendah telah dipecahkan menjadi dua sekolah yang berasingan. Mata pelajaran baru telah diperkenalkan di Sekolah Menengah seperti Perdagangan, Trengkas, Taip-menaip dan Keusahawanan. Selain itu, sekolah ini juga telah
memperkenalkan sebuah kelas bahasa pengantar Bahasa Melayu untuk pelajar tingkatan satu dan Kelas Peralihan. Pada tahun 1970, aliran Sains untuk pelajar Tingkatan 4 mula dibuka untuk pelajar-pelajar aliran Melayu. Dalam tahun-tahun 1970an, kelas Tingkatan 6 Sastera dan Sains dibuka kepada pelajar lepasan SPM. Sehingga tahun 1973, sekolah ini masih menjalankan dua sesi persekolahan, iaitu sesi pagi untuk pelajar-pelajar Tingkatan 3 hingga 6 dan sesi petang pula untuk pelajar-pelajar Tingkatan 1 dan 2. Mulai tahun 1979 waktu persekolahan menjadi satu sesi di samping berlaku perubahan aliran pengantar kepada Bahasa Melayu sepenuhnya. Sekolah Clifford dipilih menjalankan kelas Rancangan Khas untuk pelajar-pelajar terbaik Penilaian Darjah 5 mulai tahun 1983.
Dari segi kemudahan fizikal asrama, banyak kemajuan dicapai sejak tahun 1950 hingga 1980. Asrama Putera yang pernah menggunakan nama Hostel Chulan dan Iskandar mendapat bangunan baru pada tahun 1980, manakala Asrama Puteri menggunakan rumah guru/pengetua (atau rumah JKR).
Sejak awal penubuhannya, sekolah ini memang terkenal dengan permainan bola sepak, manakala permainan-permaianan lain seperti badminton, rounders dan kriket diperkenalkan sejak tahun 1917. Pada tahun 1922 sekolah ini mempunyai pasukan pengakap yang dikenali sebagai Pasukan Kedua Pengakap Kuala Kangsar. Sekolah Clifford pernah muncul sebagai johan keseluruhan dalam kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah Perak (MSSPk) zon utara, johan hoki zon Perak Utara (Bahagian A dan B), Johan bola sepak sekolah-sekolah Perak dalam siri 'Merdeka Games' termasuk johan bola sepak bawah 15 tahun.
Beberapa permainan sukan yang pernah menaikkan nama sekolah sewaktu lepas perang telah diperkenalkan semula dalam tahun-tahun 1980an. Ini termasuklah permainan ragbi dan tenis. Pada tahun 1954 Pasukan Kadet Sekolah dengan 30 anggota telah ditubuhkan. Beberapa persatuan yang lain turut ditubuhkan dari semasa ke semasa seperti Persatuan Seni Silat Gayung, Puteri Islam, Kelab Bimbingan dan Kerjaya, Kelab Keselamatan Jalan Raya, Pancaragam, Tee Kwan Do dan Bulan Sabit Merah. Kini, banyak persatuan akademik, bukan
akademik dan sukan dan permainan bergerak cergas dalam kegiatan kokurikulum di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.
Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford adalah salah sebuah Sekolah Menengah Harian yang terpilih untuk melaksanakan konsep Sekolah Bestari mulai 1 Januari 1999.
Aras teknologi yang ditempatkan di sekolah ialah Aras B. antara perkakasan komputer yang dibekalkan ialah 37 unit PC, 2 unit notebook, unit pencetak laser, 1 unit pencetak warna, 1 unit pengimbas ( scanner ), 2 unit LCD, 1 unit kamera digital, 3 unit server dan lain-lain lagi.
Perkakasan ini ditempatkan di dalam makmal komputer, bilik guru, pejabat, bilik server dan pusat sumber. Sistem yang dipasang pada komputer pengguna ialah Windows 98 dan komputer pelayan menggunakan Windows NT 4.0. Antara perisian yang dipasang pada komputer ialah Microsoft Office 2000, SSMS dan Mc Afee. Semua komputer dihubungkan dalam rangkaian (LAN ) dan boleh akses ke internet melalui pelayan proxy. Bagi melicinkan perjalanan sistem
komputer bestari, seorang guru telah dilantik sebagai Guru Penyelaras Bestari untuk mentadbir sistem. Bagi tujuan penyelenggaraan perkakasan, sebarang masalah yang dihadapi akan dilogkan ke Meja Bantuan (Help Desk) yang beroperasi di Bahagian Teknologi Pendidikan. Proses penyelenggaraan akan dijalankan oleh pihak SAPURA dilanjutkan sehingga Jun 2003.
0 comments:
Post a Comment