Kuala Kangsar banyak tempat bersejarah

Oleh Raja Norain Hidayah dan Zatul Iffah Zolkiply

(BH) BANDAR Diraja Kuala Kangsar yang terletak di pinggir Sungai Perak terkenal sebagai satu daripada destinasi pelancongan menarik di negara ini. Oleh itu, tanpa melawat bandar ini lawatan seseorang itu ke Perak dianggap masih tidak lengkap.

Kuala Kangsar mendapat nama sempena 99 kuala yang ada di Sungai Perak yang mana penduduk tempatan menyebut 'Kuala Kurang Sa' iaitu kurang satu ke seratus dan kemudian bunyinya disebut seakan Kuala Kangsar.

Namun, ada versi mengatakan ia diambil sempena nama pokok kangsar yang banyak tumbuh di tebing Sungai Perak.

Bandar ini terkenal dengan hasil pembuatan labu Sayong dan pengunjung dapat melihat replika gergasi labu ini yang dihias di tengah-tengah bandar Kuala Kangsar selain boleh melihat sendiri proses pembuatannya.

Istana Iskandariah yang terletak di Bukit Chandan adalah istana rasmi tempat bersemayam pemerintah negeri yang ditabal sebagai Sultan Perak sejak 1933.

Istana yang diambil sempena nama Sultan Iskandar Shah ini menjadi tempat pertabalan Sultan-Sultan Perak dan upacara terbaru ialah Perkahwinan Diraja Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dengan Tuanku Zara Salim pada Mei lalu.

Satu lagi tarikan pelancongan di Bukit Chandan ialah Masjid Ubudiah yang dianggap satu masjid terindah di Malaysia dan menjadi simbol kebanggaan dan kesucian agama untuk umat Islam di Perak.

Pembinaan masjid ini diilhamkan oleh Sultan Perak ke-28, Sultan Idris Murshidul Adzam Shah Satu pada 1910 dan siap sepenuhnya pada 1917 dan dirasmikan oleh Sultan Jalil Shah setahun selepas kemangkatan Sultan Idris.

Antara mercu tanda kecemerlangan pendidikan di Kuala Kangsar ialah Kolej Melayu Kuala Kangsar atau lebih dikenali dengan nama Malay College Kuala Kangsar (MCKK).

Sekolah yang dibina pada 1905 ini suatu ketika dulu adalah tempat untuk mendidik dan melatih golongan elit Melayu, yang terdiri daripada kerabat Diraja dan juga pegawai kerajaan bagaimanapun syarat kemasukan dilonggarkan ekoran kebangkitan nasionalisme.

Antara kerabat Diraja dan pembesar negara yang pernah menuntut di MCKK ialah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

Kepada pengunjung yang gemarkan pengembaraan alam semula jadi, Safari Sungai Perak adalah satu siri pengembaraan yang menarik walaupun kurang mencabar berbanding Safari Afrika Timur, namun ia lebih murah dan selesa.

Safari Sungai Perak akan membawa pengunjung menyusuri sepanjang Sungai Perak selam dua jam 25 minit serta melihat kehidupan semula jadi penduduk tempatan yang tinggal di sekitar kampung di pesisiran sungai dan pelbagai habitat sungai seperti tuntong selain haiwan liar seperti monyet yang berkeliaran mencari makanan.

Bagi yang gemarkan aktiviti perkelahan seharusnya tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi Air Terjun Ulu Kenas.

Galeri Sultan Azlan Shah yang tersergam indah di Bukit Chandan dibina untuk tatapan umum sebagai pengetahuan kepada laluan perjalanan hidup Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Galeri yang dibina pada 30 November 2001 dan siap sepenuhnya pada 15 April 2003 ini adalah idea daripada baginda Sultan Azlan sendiri.

Galeri ini bukan saja dapat berfungsi sebagai sumber rujukan, malah membolehkan pengunjung mengenali lebih mendalam perjalanan hidup seorang Raja malah dapat meningkatkan fahaman dan apresiasi rakyat terhadap Institusi Raja Berperlembagaan.

Pokok getah tertua di semenanjung Malaysia ditanam di bandar ini pada 1900 oleh Residen British di Perak ketika itu, Sir Hugh Low yang membawa masuk benih getah ke Kuala Kangsar untuk membuka ladang getah.

0 comments: